Contoh Petikan

Tajuk

4

Pusaka Bangsa

  • Jenis : SK
  • Mukasurat: 72 (2.3.2)

Teks Karangan

Tarian dabus ialah tarian tradisional yang berasal dari negeri Perak. Tarian ini dipersembahkan sejak beratus-ratus tahun dahulu. Dabus terdiri daripada beberapa peralatan muzik seperti rebana, gong dan buah dabus. Rebana diperbuat daripada pelbagai kayu seperti kayu nangka, cengal, halban, tembusu dan jati. Kayu-kayu ini keras dan tahan lama. Untuk mempersembahkan tarian dabus, sekurang-kurangnya tiga orang diperlukan, iaitu pemain rebana, pemain gong dan penari. Namun begitu, untuk lebih meriah, sekurang-kurangnya tujuh atau lapan pemain diperlukan. Dalam sesuatu persembahan, sekiranya tanpa penari, kesenian ini tidak dipanggil dabus tetapi dipanggil bardah. Untuk seseorang itu mahir dalam kesenian dabus memerlukan masa lebih kurang enam bulan. Namun begitu, seseorang yang berlatih menari memerlukan masa lebih kurang sebulan sahaja. Setiap pemain dabus perlu pandai memainkan semua alat muzik dan pandai menari. Hal ini dikatakan demikian bagi memastikan masalah mencari pengganti tidak timbul dan mengganggu kelancaran persembahan. Dabus merupakan tarian tradisional yang unik. Tarian ini dipersembahkan dalam adat istiadat Melayu seperti adat perkahwinan, berkhatan dan berendoi. Sebahagian daripada masyarakat dahulu menganggap tarian ini untuk golongan berada kerana dimainkan di istana. Tarian ini harus dipelajari oleh generasi kini bagi memastikan pusaka bangsa ini terus kekal dan dipelihara sepanjang zaman.