Contoh Petikan
Tajuk
1Etnik Lun Bawang
- Jenis : SK
- Mukasurat: 67 (2.3.1)
Teks Karangan
Sarawak sememangnya negeri yang memiliki pelbagai etnik. Antaranya termasuklah etnik Lun Bawang. Kebanyakan etnik ini terdapat di utara Sarawak, iaitu di bahagian Limbang terutamanya di daerah Lawas. Pekerjaan utama etnik Lun Bawang ialah pertanian sara diri. Mereka terkenal sebagai penanam padi Adan. Selain itu, mereka juga menghasilkan garam bukit. Masyarakat Lun Bawang mengadakan pesta menuai yang dikenali sebagai Irau Aco Lun Bawang. Pesta ini diadakan selama tiga hari dua malam, iaitu pada 31 Mei hingga 2 Jun setiap tahun. Pelbagai aktiviti kebudayaan diadakan. Antaranya termasuklah pertandingan permainan tradisional, demonstrasi kebudayaan, pertandingan sukaneka, jualan kraf tangan tradisional serta pameran dan jualan makanan tradisional. Kemuncak pesta Irau Aco Lun Bawang ialah pertandingan ratu cantik bagi perempuan dan pertandingan yang memaparkan kepahlawanan bagi lelaki. Pemenang pertandingan ratu cantik digelar Ruran Ulung manakala pemenang pertandingan kepahlawanan digelar Padan Liu Burung. Dengan adanya pertandingan ini, para peserta dapat menonjolkan pakaian tradisional, kebudayaan tradisional, tarian dan muzik tradisional yang diamalkan oleh nenek moyang mereka. Adat ini juga dipamerkan kepada para pelancong yang datang ke negeri Sarawak.
